.: | LIFE is either a daring adventure or nothing | moga ALLAH redha | :.
http://www.emocutez.com http://www.emocutez.com

Followers

This is Me ..

My photo
ALLAH memilih kita untuk menerima kesusahan, supaya suatu saat kita boleh menyuarakan "Kekuasaan" ALLAH.. | hanya hamba hina, yang masih mencari cinta teragung, cinta sempurna.. cinta ALLAH |

Friday, December 30, 2011

Apa Tugas Kita Di Dunia Ini ??

Assalamualaikum..

Untuk apa kita dicipta atau kenapa kita dihidupkan?
Antara persoalan-persoalan yang sering menjadi tanda tanya kepada seluruh manusia di muka bumi ini. Berbagai-bagai pendapat dan pandangan yang diperolehi. Ada sesetengah mereka mengatakan hidupnya aku di dunia ini adalah untuk makan, minum, tidur, kahwin dan mati. Lepas mati habis kira. Waktu itu daging-daging reput dimakan ulat dan cacing-cacing.

Ada juga berpendapat begini, : aku hidup untuk cari hiburan dan kumpul harta banyak-banyak agar puas dan dimuliakan orang. Bila sudah kaya, semua orang sayang dan puji aku. Waktu itulah mereka merasakan : 
DUNIA AKU PUNYA, bukan ALLAH PUNYA.

Pendapat lain pula begini, : Aku hidup ini supaya belajar tinggi-tinggi, setinggi yang mampu. Kemudian bila ada lulusan Diploma, Ijazah, Ba, Ma, Phd dan sebagainya, maka senanglah dapat pangkat tinggi, senang dapat gaji besar, terkenal di sana sini. Aku boleh jadi BOSS. Semua yang diidam-idamkan dapat, cerah masa depan. Mahu kereta besar menjalar, bila-bila masa saja. Mahu rumah banglo mudah saja, mahu cakap besar pun boleh sebab sudah jadi TUAN BESAR. 
Akan tetapi apakah pendapat dan pandangan ini selari dengan kaca mata Islam?

Untuk mendapat jawapannya, mari kita lihat, berapa ramai orang yang kaya, orang yang terkenal, yang punyai kereta besar, pangkat dan gaji besar, orang yang disanjung dan termasyhur seperti bintang-bintang filem HOLLYWOOD telah membunuh diri kerana tidak dapat ketenangan dan kebahagiaan yang hakiki. Apakah benar jutawan-jutawan akan dipuji orang? Kalau benar kenapakah kita sering kali terdengar dan terbaca dalam media massa cetak dan eletronik banyak yang memaparkan kes-kes pecah rumah yang berlaku pada hari ini? Orang-orang kaya nampaknya seringkali terganggu fikirannya. Hatinya sentiasa bimbang, cemas dan takut rumahnya dimasuki orang, malah untuk menjaga rumah pun sehingga ada yang membela anjing atau mengupah jaga. Takut hartanya disamun orang, takut anak-anak gadisnya diculik orang dan lebih parah lagi takut dirinya sendiri menjadi mangsa pembunuhan. 
Apakah itu ketenangan abadi?

Allah kurniakan akal yang waras pada kita supaya kita berfikir. Berfikir tentang keEsaan dan keKuasaan-Nya, berfikir tentang apakah tujuan kita dihidupkan, berfikir ke mana kita akan pergi nanti dan apa yang akan terjadi setelah kita kembali kepangkuan-nya (Allah) tanpa membawa bekal yang cukup? Inilah yang wajib kita fikir selalu. Bukannya fikir macam mana hendak jadi orang kaya, macam mana hendak terkenal, macam mana hendak itu dan ini tanpa fikirkan nasib kita di akhirat kelak. Jawapan yang matang mengenai apa yang perlu kita fikirkan akan kita perolehi, sekiranya Al Quran dan Sunnah kita jadikan sebagai tempat rujukan kita. Firman Allah dalam Al  Quran maksudnya:

"Tidak aku jadikan jin dan manusia, melainkan untuk menyembah Aku"

Bukan saja Allah yang menghendaki kita menyembahnya, malah akal dan hati kita sendiri pun bersetuju kita ini tunduk dan patuh pada Allah. Buktinya, katalah suatu hari kawan kita berkata kepada kita begini:

"Hai saudara, saudara ni hamba Allahlah."
Apakah perasaan kita ketika itu? Tentu gembira, senyum-senyum simpul kita dibuatnya, malah secara OTOMATIK akal kita mengiakan perkataan itu. Ketika itu hati rasa puas, lega, seronok, lapang dan rasa berterima kasih padanya, walaupun pada hakikatnya kita tidak pernah tunduk dan rukuk pada Allah swt, tidak pernah ikut perintah Allah bahkan tidak pernah fikir cara hidup mengikut Al Quran dan Sunnah.

Sebab apa hati kita rasa puas? Sedangkan kita tidak taat pada perintah Allah? Inilah dia bukti dan jawapannya bahawa sudah menjadi fitrah semula jadi manusia inginkan kebaikan walaupun pada hakikatnya dirinya tidak mampu hendak membuat kebaikan.

Sebaliknya apa kata akal dan hati sekiranya kawan kita kata begini: 
"Hai saudara! Saudara ni hamba syaitanlah, saudara ni hamba discolah, saudara ni hamba nafsulah."
Apa perasaaan kita ketika itu? Tentu melenting, marah walaupun memang betul kita ni hamba nafsu, hamba kereta, hamba syaitan, hamba video, VCD dan gambar lucah, hamba disco dan hamba-hamba yang lain selain dari hamba Allah.

Ketika itu hati kita memberontak tidak setuju. 
Kenapakah ini berlaku dan lahir dalam diri kita? Sebab hati dan akal kita tidak bersetuju, malah kalaulah kita tidak tahan sabar mahu rasanya tempeleng kawan kita itu. Hendak tahu benar atau tidak, cubalah kita dikatakan begitu di khalayak ramai. Hai mahu gugur kulit muka rasanya. Sebab apa? Malu!!!! 
jelas, kehendak Allah sama dengan kehendak hati dan akal kita sejak azali lagi.
Kalau benar akal dan hati setuju kita menyembah Allah, 
mengapa masih lagi angkuh dan sombong dengan Allah? Mengapa masih lagi mencabar kekuasaan Allah? Jawabnya, renungilah beberapa potong ayat suci Al Quran di bawah ini:
Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang 
nyata.

Dan maksudnya lagi:
Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada 
kejahatan.

Kini tahulah kita bahawa nafsu dan syaitanlah yang 
punya angkara. Ia menggoda hati dan akal kita daripada terus mengingati Allah. Antara bisikan-bisikan nafsu syaitan, 
: Kalau kamu sembah Allah nanti susah, kalau kamu ikut Quran dan Sunnah, nanti jiwa kamu menderita, terkongkong, kalau taat pada perintah Allah umpamanya menutup aurat, nanti kamu tiada kawan, tinggal seorang diri macam kera sumbang jadinya. 
Selain dari itu macam-macam lagilah bisikan-bisikan yang benar-benar mengganggu fikiran kita. 
Benarlah firman Allah bermaksud:

Syaitan telah menakut-nakutkan kamu dengan 
membisik-bisikkan pada hati dan akal kamu.

Jadi atas dasar itulah kita takut hendak sembah Allah. 
Takut hendak ikut Quran dan Sunnah, takut disisih masyarakat, takut emak dan ayah tidak mengaku anak dan macam-macam lagi. Nampaknya syaitan dan nafsu sudah berjaya menguasai fikiran kita. Kini ia sudah berjaya menawan hati kita, sehinggakan umat Islam hari ini seringkali diburu oleh perasaan takut.
Buktinya lagi, kita lihat hari ini umat Islam takut 
hendak bersedekah atau mengeluarkan zakat. Kenapa? kerana takut miskin, takut papa kedana, takut kering periuk nasi, manakala ada yang takut hendak menutup aurat kerana takut tidak laku, takut tidak dilamar orang, takut jadi ANDARTU dan sebagainya. Oleh kerana hati sentiasa diburu oleh perasaan takut, menyebabkan mereka takut hendak sembah dan patuh kepada perintah Allah.
Kita sebenarnya telah berjaya diperkotak-katikkan oleh 
musuh batin kita sendiri. Alangkah ruginya empunya diri, kerana dapat ditipu oleh hasutan syaitan dan hawa nafsu sendiri. Tetapi alangkah beruntungnya bagi orang-orang yang beriman, mereka berjaya menundukkan dan menewaskan musuh-musuh tersebut. Nafsu dan syaitan telah mengaku kalah dengan  mereka ini, sebab itulah tidak hairan kalau kita lihat orang-orang yang beriman mereka sanggup bersusah payah demi mencari keredhaan Allah. Mereka sanggup mengorbankan harta, jiwa, fikiran, tenaga dan sebagainya demi mencari kasih sayang Allah dan Rasullullah saw.
Mereka menerima hukuman-hukuman Allah dengan dada yang 
lapang, tanpa sebarang bantahan dan alasan. Bagi mereka, KAMI DENGAR DAN KAMI PATUH, inilah antara ucapan yang mereka lafazkan sekiranya Allah memerintahkan sesuatu kepada mereka.
Umpamanya Allah menyuruh mereka mendirikan solat, 
mereka tidak tanya lagi untuk apa aku sembahyang? Bagitulah juga dalam bidang-bidang yang lain. Akhirnya bila Allah berfirman:

TidakKu jadikan jin dan manusia kecuali 
menyembah diriKu.

Maka mereka tidak tanya lagi kenapa perlunya aku 
sembah Allah, mengapa perlunya aku beribadah pada-Nya?

Jadi dapatlah kita ukur diri kita masing-masing. 
Apakah kita ini sudah benar-benar menyembah Allah? Apakah kita sudah benar-benar menjalani hidup di pentas sandiwara sementara ini dengan tunduk dan patuh pada Allah? Apakah kita sudah merelakan jiwa raga kita semata-mata untuk mencari MARDHAATILLAH yakni KEREDHAAN Allah atau sebaliknya? 
Suluh-suluhlah diri kita selalu, sering-sering kalilah bertafakkur mengenangkan dosa-dosa kita dan mengenangkan apakah tugas kita sebagai khalifah di muka bumi Allah ini sudah selesai atau belum. Rasulullah pernah bersabda maksudnya:
Orang yang bertafakkur (berfikir) sejanak lebih 
baik daripada orang yang mengerjakan sembahyang sunat 1000 rakaat dalam keadaan lalai.
Kalau belum, mulailah dari sekarang. 
Jalankanlah peranan kita yang sebenar sebagaimana yang dikehendaki Allah dan Rasulullah saw.

Jika kita mahu menjadi seorang lelaki atau suami yang 
benar-benar soleh serta diredhai Allah maka jalankanlah tanggungjawab kita sebagai seorang mukmin.
Seorang lelaki yang sempurna ialah dia yang tidak 
mempermudahkan dalam kewajipan-kewajipan kepada Allah. Dan seorang lelaki yang kurang ialah dia bersifat sebaliknya. 
Maksud dari penjelasan ini ialah seorang suami yang sudi memaafkan jika isterinya tidak menghias dirinya dan tidak melayaninya dengan sempurna dan lain-lain lagi tetapi ia bersikap keras jika isterinya tidak melakukan solat atau puasa dan lain-lain kewajipan itulah suami yang sempurna. Dan seorang suami yang bersifat keras jika isterinya tidak menghias dirinya atau tidak melayaninya dengan sempurna dan lain-lain tetapi dia bersikap acuh tidak acuh jika isterinya meninggalkan kewajipan-kewajipan kepada Allah seperti meninggalkan solat, puasa dan lain-lain, maka dia adalah seorang suami yang kurang.
Rasulullah saw bersabda:
Tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan 
bertanggungjawab atas yang dipimpinnya, seorang imam yang memimpin manusia adalah pemimpin, dan ia bertanggungjawab atas rakyatnya, seorang suami adalah pemimpin dalam mengurusi ahlinya, ia bertanggunjawab atas yang dipimpinnya, seorang isteri adalah pemimpin di dalam rumahtangga dan bertanggunjawab atas yang dipimpinnya dan seorang pelayan adalah pemimpin dalam mengurusi  harta tuannya ia bertanggungjawab atas pemeliharaannya, seorang lelaki itu adalah pemimpin dalam mengurusi harta ayahnya, ia bertanggungjawab atas peliharaannya. Jadi setiap kau sekalian adalah pemimpin dan setiap kamu harus bertanggunjawab atas yang dipimpinnya.

Jika kita mahu menjadi isteri atau  wanita yang 
benar-benar solehah serta diredhai Allah, maka sahutlah seruan Rasulullah saw yang bermaksud:
Apabila perempuan itu mengerjakan sembahyang 
lima waktu dan mengerjakan puasa di bulan Ramadhan dan menjaga farajnya (maruahnya) dan mentaati suaminya, dikatakan padanya masuklah olehmu akan syurga daripada mana-mana pintu yang kamu kehendaki.

Tidak gembirakah kita (kaum wanita) di atas jaminan 
syurga dari Allah dan Rasulullah ke atas kita yang memenuhi syarat-syarat tersebut? Yakinlah, empat syarat di atas adalah tiket untuk melayakkan kita menduduki syurga Allah di akhirat kelak yakni menyempurnakan sembahyang lima waktu sehari semalam, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga maruah diri (menutup aurat) dan sebagainya dan mentaati segala perintah suami walaupun kita dimadukan.
Sekiranya empat syarat tersebut diabaikan, bermakna 
kaum wanita menempah neraka, bermakna kita telah merelakan diri kita dicampak ke dalam tempat yang paling hina dan celaka. Tahukah kita bahawa neraka itu adalah seburuk-buruk tempat dan tempat yang paling panas, paling pedih seksanya, di mana bahan-bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu, manakala makanannya pula terdiri daripada buah yang berduri dan pahit. Minumannya pula terdiri daripada air-air danur (nanah) dan darah yang hanyir dan busuk baunya. Sanggupkah mencampakkan diri kita ke tempat yang paling ngeri dan menggerunkan itu?
Cuba kita bayangkan betapa panasnya api neraka, 70 
kali ganda panasnya dengan api yang ada di dunia ini. 
Mengikut riwayat yang mengatakan seringan-ringan seksa dalam neraka ialah seksaan yang dikenakan kepada Abu Talib (bapa saudara Nabi saw) di mana beliau diseksa dengan memakai selipar dari api neraka sehingga menggelegak otak kerana kepanasan selipar tersebut. Bayangkanlah, mampukah kita yang kerdil-kerdil lagi dhaif ini menerima azab yang sedemikian rupa di akhirat kelak? Tanyalah diri masing-masing, mampukah aku menanggung azab yang sangat pedih itu. Jika rasa-rasanya tidak mampu, marilah kita sama-sama berjanji pada diri sendiri mahu tunduk dan patuh pada segala perintah Allah.
Yakinlah bahawa hari kiamat pasti datang walaupun ada 
yang tidak mahu menyahut kedatangannya. 
Beruntunglah bagi orang-orang yang tahu matlamat dan tujuan ia dihidupkan di muka bumi Allah ini. Beruntunglah bagi mereka yang memenuhi usia muda dan tuanya dengan beramal ibadah kepada yang Maha Esa kerana mereka mendapat kasih sayang Allah di dunia lagi apatah lagi di akhirat kelak, pasti mereka ini memperolehi keuntungan dan kemenangan yang paling besar nilainya di sisi Allah swt.
Tidak teringinkah kita untuk menjadi salah seorang orang yang beruntung itu ?

tepuk dada tanya iman...



wallahu'alam..


: muhasabah diri bersama.. semoga kita sama2 berpimpin tangan hingga ke syurga.. insyaALLAH..
: salam Jumaat yang penuh barakah, juga Jumaat terakhir bagi tahun 2011.. 



♥ .. Thank You, Syukran, Terima Kasih Sudi Lawat Sini .. ♥

No comments:

copyright by Azwani | Mencari Cinta Teragung