Assalamualaikum ..
Apabila ditanya kepada seorang aktivis wanita Islam ala Barat: “Kenapakah anda tidak memakai tudung?” Jawapan yang diberikan adalah: “Pakaian yang dituntut dalam Islam adalah taqwa!”, merujuk kepada ayat 26 surah al-A’raaf:
“Dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya.”
Memandangkan sifat taqwa letaknya pada rohani seseorang, maka apa yang dipakai pada jasmaninya tidak perlu dipersoalkan.
Kefahaman seperti ini memang merupakan asas kepada aliran Islam Liberal dalam bab berpakaian. Kita menjawab, benar bahawa sifat taqwa letaknya pada rohani seseorang. Akan tetapi bagi manusia, apa yang terletak pada rohaninya akan terpancar pada jasmaninya. Orang yang memiliki rohani yang bertaqwa akan terpancar pada jasmaninya sifat-sifat yang membuktikan ketaqwaan tersebut. Sebagai contoh, orang yang bertaqwa akan sentiasa mengeluarkan kata-kata yang tepat lagi benar, selari dengan ketaqwaannya. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan katakanlah perkataan yang tepat lagi benar.” [al-Ahzab 33:70]
Demikian juga kaitannya antara rohani yang bertaqwa dan pakaian jasmani seorang muslimah. Ketaqwaan seorang muslimah akan menyebabkan jasmaninya terpancar dengan pakaian yang ciri-cirinya menepati perintah larangan Allah dan Rasul-Nya. Adapun pakaian yang belum menepati ciri-ciri tersebut, maka mungkin ia disebabkan oleh tahap ketaqwaan yang rendah. Mungkin juga, ia disebabkan kejahilan atau salah faham dalam mengetahui apakah ciri-ciri tersebut. Risalah ini insya-Allah akan memberi tumpuan kepada kemungkinan kedua. Kita mulakan dengan ciri-ciri yang pertama:
Ciri Pertama: Bukan merupakan pakaian yang meraih kemasyhuran.
Ciri pertama pakaian muslimah yang bertaqwa adalah pada tujuannya, iaitu ia tidak dipakai demi meraih kemasyhuran. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
“Sesiapa yang memakai pakaian demi kemasyhuran maka Allah akan memakaikannya pada hari Kiamat yang semisal, kemudian membakarnya di dalam pakaian tersebut dengan api neraka.” [Diriwayatkan oleh Abu Daud dan dinilai hasan oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 4029]
Tidak bertujuan meraih kemasyhuran bukanlah bermakna seorang muslimah tidak boleh memakai pakaian yang baru, kemas, berwarna dan indah. Ini kerana ukuran dalam ciri pertama ini ialah tujuan pemakaian dan bukan apa yang dipakai. Adakalanya seseorang itu turut mencari kemasyhuran dengan memakai pakaian yang buruk, robek dan kelihatan selekeh. Kemasyhuran yang dicarinya adalah mengharapkan pujian daripada orang ramai bahawa kononnya dia memiliki sifat zuhud. Ini juga adalah tujuan pemakaian yang dilarang. Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa dilarang meraih dua bentuk kemasyhuran dalam berpakaian, yang pertama adalah memakai pakaian yang baik demi menarik perhatian orang atau keduniaan, yang kedua adalah memakai pakaian yang buruk demi menarik perhatian kepadanya. [Diriwayatkan oleh al-Baihaqi di dalamal-Sunan al-Kubra – hadis no: 6102 dengan sanad yang lemah, dikemukakan sebagai penjelas dalam bab ini]
Ciri Kedua: Tidak menyerupai pakaian kaum bukan Islam.
Kita umat Islam dilarang daripada menyerupai kaum bukan Islam dan ini termasuklah dalam ciri-ciri berpakaian. Abdullah bin Amr bin al-‘Ashradhiallahu 'anh berkata:
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melihat saya memakai dua buah kain yang berwarna “Ushfur”, maka baginda bersabda: “Sesungguhnya ini adalah daripada pakaian orang-orang kafir maka janganlah memakainya.” [Diriwayatkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis 2077].
Terdapat beberapa sebab mengapa Islam melarang umatnya daripada menyerupai kaum bukan Islam dalam apa jua bentuk penampilan jasmani:
1. Penampilan jasmani mencerminkan identiti seseorang, sekali gus mencerminkan apa yang dibanggakannya. Justeru itu kita jarang-jarang melihat orang bukan Islam ingin berpakaian seperti orang Islam, disebabkan kebanggaan mereka dalam memelihara identiti tersendiri dan pandangan mereka yang hina kepada Islam. Sebaliknya kita melihat orang Islam suka berpakaian seperti orang bukan Islam, malah berbangga-bangga dengan pakaian tersebut. Ini amat menggembirakan orang bukan Islam kerana ia menandakan betapa umat Islam memandang hina terhadap diri sendiri dan mencari kemuliaan di sisi mereka.
2. Penampilan jasmani adalah salah satu faktor yang menjalin perhubungan di antara dua orang yang saling tidak berkenalan. Contohnya dua orang polis daripada lokasi yang berlainan, apabila berjumpa di satu tempat akan saling menegur. Faktor yang menggerakkan perhubungan antara mereka adalah pakaian seragam yang hampir mirip. Demikian juga, apabila dua orang muslimah yang tidak saling mengenali berjumpa, faktor yang akan menghubungkan mereka adalah pakaian bercirikan Islam yang mereka kenakan.
3. Penampilan jasmani mencerminkan kecenderungan hati kepada apa yang diminati dan dikasihinya. Orang yang minat kepada pasukan bolasepak pilihannya akan gemar untuk memakai baju jersi pasukan tersebut. Orang yang kasih kepada penyanyi tertentu akan berusaha untuk berfesyen sebagaimana penyanyi tersebut. Demikian juga, seorang muslimah yang cenderung kepada orang bukan Islam akan cenderung untuk berpakaian seperti mereka. Kecenderungan seperti ini adalah sesuatu yang dilarang oleh Islam kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah berfirman:
“Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya.” [al-Mujadilah 58:22]
4. Penampilan jasmani adalah salah satu faktor yang mempengaruhi akhlak dan perbuatan. Contohnya, orang yang mengenakan pakaian para ahli ilmu akan memiliki kecenderungan untuk berakhlak dan bertindak sebagai seorang ilmuan. Orang yang mengenakan pakaian ketenteraan akan memiliki kecenderungan untuk berakhlak dan bertindak sebagai seorang tentera. Demikian juga, seorang muslimah yang mengenakan pakaian orang bukan Islam akan memiliki kecenderungan untuk berakhlak dan bertindak seperti orang bukan Islam. Ini akhirnya akan menjerumuskan dirinya ke dalam akhlak dan perbuatan yang lazim dilakukan oleh orang bukan Islam yang sebenarnya haram di sisi Islam.
Oleh itu hendaklah seorang muslimah berusaha menjauhkan diri daripada berpenampilan seperti orang bukan Islam. Dalam suasana globalisasi sekarang ini, perintah ini adakalanya sukar untuk dilaksanakan sepenuhnya. Maka laksanakanlah sekadar mampu, lakukanlah perbezaan sekalipun dengan kadar yang minima.
Ciri Ketiga: Tidak menyerupai kaum lelaki.
Selain daripada pakaian yang tidak menyerupai orang bukan Islam, seorang muslimah juga dituntut untuk berpakaian yang tidak menyerupai kaum lelaki. ‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anh berkata:
“Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.”[Diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 5885]
Hikmah larangan adalah kerana pakaian merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi akhlak dan perbuatan seseorang. Apabila seorang muslimah berpakaian seperti lelaki, dia akan cenderung untuk berakhlak dan bertindak sebagai seorang lelaki. Ini akan menyebabkan berlakunya kesongsangan dalam peranan dan tanggungjawab antara lelaki dan wanita. Lebih dari itu, sebahagian daripada peranan kaum lelaki adalah tidak sesuai dengan fizikal kaum wanita sehingga akhirnya menimbulkan mudarat kepadanya.
Ciri Keempat: Tidak jarang kainnya.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:
“Pada akhir umatku nanti akan ada wanita yang berpakaian tetapi sebenarnya telanjang.” [Diriwayatkan al-Thabarani dan sanadnya dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Jilbab al-Mar’ah al-Muslimah fi al-Kitab wa al-Sunnah (Dar al-Salam, 2002), ms. 125]
Maksud Rasulullah dalam hadisnya di atas adalah wanita yang mengenakan pakaian yang jarang kainnya sehingga menampakkan tubuh badan mereka di sebaliknya. Justeru sekalipun mereka berpakaian, mereka sebenarnya tetap telanjang. Oleh itu dalam memilih sesuatu pakaian, hendaklah diperhatikan agar kainnya tidak jarang atau nipis.
Ciri Kelima: Tidak menampakkan bentuk badan.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah memberikan sehelai pakaian Quthbiyah yang tebal kepada sahabatnya, Usamah bin Zaidradhiallahu 'anh. Usamah kemudiannya memakaikannya kepada isterinya. Melihat yang sedemikian, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berpesan kepada beliau:
“Suruhlah beliau memakai baju dalam di sebaliknya kerana aku bimbang ia menggambarkan bentuk tulangnya.”[Diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Baihaqi, sanadnya dinilai hasan oleh al-Albani di dalam al-Tsamar al-Mustathab fi Fiqh al-Sunnah wa al-Kitab (Muassasah Ghiras, Kuwait, 1422H), jld. 1, ms. 318]
Perhatikan bahawa sekalipun pakaian Qubthiyah adalah tebal, Rasulullah tetap menyuruh agar dipakai baju dalam di sebaliknya. Hal ini mungkin disebabkan oleh saiz badan isteri Usamah yang besar atau sifat pakaian Quthbiyah yang mudah melentur mengikuti bentuk badan orang yang memakainya. Berdasarkan hadis ini, hendaklah seorang muslimah mengenakan pakaian yang dapat menghindari daripada menampakkan bentuk badannya semampu mungkin, seperti memakai baju di dalam, baju tambahan di luar, pakaian yang longgar atau pakaian yang diperbuat daripada kain yang tidak mudah mengikut bentuk badan.
Ciri Keenam: Tidak mengenakan wangian pada pakaian.
Dilarang bagi seorang muslimah untuk sengaja memakai wangi-wangian agar dapat dihidu oleh kaum lelaki. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
“Sesiapapun wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina.” [Diriwayatkan oleh al-Nasai dan dinilai hasan oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan al-Nasai – hadis no: 5141]
Larangan ini tidak membezakan sama ada wangian tersebut dikenakan di atas badan atau pakaian. Dikatakan “penzina” adalah kerana wangi-wangian yang dikenakan oleh wanita adalah salah satu faktor yang menaikkan berahi kaum lelaki sehingga akhirnya menyebabkan perzinaan, sama ada secara rela atau paksa. Walaubagaimanapun hadis ini tidaklah melarang seorang muslimah daripada menjaga dirinya daripada berbau busuk. Oleh itu dibolehkan, malah dianjurkan, untuk menjaga keharuman diri dengan sabun mandian atau semburan badan yang bersifat menahan peluh (anti perspirant) atau bau busuk (deodorant).
Ciri Ketujuh: Menutupi tubuh badan kecuali apa yang zahir.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
“Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” [al-Nur 24:31]
Terdapat beberapa penjelasan yang penting daripada ayat di atas:
Pertama:
Firman Allah: “…katakanlah…” bukanlah bererti ia adalah satu suruhan yang sunat atau ringan hukumnya, tetapi suruhan yang membawa kepada perintah wajib. Ini sebagaimana firman Allah: “Katakanlah: (Tuhanku) ialah Allah Yang Satu.” [al-Ikhlas 112:1]. Ayat ini tidaklah bererti mengesakan Allah sebagai Tuhan yang Satu adalah sunat kerana mengesakan Allah sebagai Tuhan yang Satu adalah kewajipan agama yang paling asas.
Kedua:
Firman Allah: “…kepada wanita-wanita yang beriman…” menunjukkan bahawa perintah ini ditujukan kepada semua wanita beriman tanpa membezakan tempat dan zaman. Ini membatalkan dakwaan Islam Liberal yang menganggap pakaian yang menutupi badan hanya untuk wanita yang hidup 1400 tahun yang lalu di padang pasir.
Ketiga:
Firman Allah: “…janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka…” adalah satu larangan yang bersifat umum, bererti seorang muslimah dilarang daripada memperlihatkan tubuh badan mereka. Ini kerana tubuh badan wanita adalah satu “perhiasan” yang istimewa dan apa jua perhiasan yang memiliki nilai yang tinggi maka lazimnya ia tertutup demi memelihara keistimewaannya. Perhatikan bagaimana emas dan berlian tertutup di bawah tanah, mutiara tertutup dalam cengkerangnya di dalam lautan dan minyak tertutup di dalam lapisan bumi. Perhatikan juga bahawa di antara deria-deria manusia seperti mata, telinga dan hidung, hanya mata yang memiliki kelopak yang menutupinya manakala deria lain dibiarkan terdedah. Ini tidak lain menunjukkan bahawa mata adalah deria yang paling istimewa sehingga perlu ditutupi.
Selain itu seorang muslimah yang “menutup perhiasan” badannya akan mudah dikenali sebagai wanita yang baik dan lebih terpelihara daripada gangguan orang lain. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [al-Ahzab 33:59]
Keempat:
Keumuman larangan di atas telah diberikan pengecualian, iaitu dengan firman Allah: “…kecuali yang zahir daripadanya.” Terdapat dua kefahaman di kalangan para ilmuan Islam tentang apa yang dimaksudkan dengan pengecualian di atas:
1. Yang dimaksudkan dengan “zahir” adalah bentuk badan seorang wanita dimana sekalipun dengan pakaian yang menutupi keseluruhan badan dan muka, seorang wanita tetap dapat dikenali disebabkan oleh susuk badan mereka. Maka ini dikecualikan kerana ia adalah sesuatu yang memang sukar untuk dielakkan. Berdasarkan kefahaman ini, ayat 31 surah al-Nisaa’ dijadikan dalil bahawa seorang muslimah wajib menutupi seluruh badannya termasuk muka.
2. Yang dimaksudkan dengan “zahir” adalah apa yang kelihatan daripada beberapa anggota yang lazimnya terdedah bagi membolehkan seorang muslimah melaksanakan tugasnya yang ditetapkan oleh syari‘at Islam. Anggota tersebut ialah muka dan tangan di bawah pergelangannya. Sebahagian lain menambah bahagian di bawah buku lali kakinya. Berdasarkan kefahaman ini, ayat 31 surah al-Nur juga dijadikan dalil bahawa seorang muslimah wajib menutupi seluruh badannya kecuali apa yang perlu untuk tugasnya yang ditetapkan oleh syari‘at.
Sekalipun terdapat dua kefahaman, wilayah perbezaan di antara kedua-duanya adalah amat kecil. Kedua-dua pihak memiliki hujah dan di sini penulis mengambil sikap berlapang dengan berkata bahawa kedua-duanya adalah benar. Seorang muslimah boleh memilih salah satu daripada pendapat tersebut. Pada waktu yang sama hendaklah dia menghormati muslimah lain yang memilih pendapat yang berbeza daripadanya.
Kelima:
Sebelum turunnya ayat 31 surah al-Nur, sebahagian wanita pada zaman tersebut ada yang memakai tudung kepala. Akan tetapi tudung tersebut dilepaskan ke belakang badan mereka. Maka Allah membetulkan cara pakaian tersebut dengan firman-Nya: “…hendaklah mereka menutup dada dengan tudung kepala mereka”, yakni hendaklah ia dilepaskan ke hadapan badan mereka. Tidak sekadar itu, ia juga hendaklah dilabuhkan sehingga menutupi ke bawah dada mereka.
Demikian tujuh ciri-ciri pakaian bagi seorang muslimah yang bertaqwa. Sekali lagi ditegaskan bahawa taqwa adalah kedudukan rohani yang dibuktikan melalui perbuatan jasmani dan ciri-ciri berpakaian tidak terlepas daripada pembuktian ini. Pembuktian tersebut hendaklah secara bersungguh-sungguh sebagaimana pesan Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.” [Ali Imran 3:102]
Walaubagaimana jika seorang muslimah mengalami kesukaran atau terhimpit dalam satu suasana yang menyukarkan, hendaklah dia berusaha sekadar termampu kerana Allah yang Maha Pengasih dan Maha Pengampun juga telah berfirman:
“Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.” [al-Taghabun 64:16]
Terpenting, membaca ayat: “Dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya” sebagai alasan untuk tidak bertudung bukanlah ciri-ciri seorang muslimah yang bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benarnya, mahupun bertaqwa kepada Allah dengan sedaya upaya. Ia hanyalah ciri-ciri seorang wanita yang bertaqwa kepada hawa nafsunya.
sumber ?
http://www.hafizfirdaus.com/ebook/Risalah4/Himpunan%20Risalah%204%20Topik%202.htm
|
perempuan yang cantik itu adalah perempuan yang
bijak menjaga aurat dan cara pemakaiannya =) |
♥ .. Thank You, Syukran, Terima Kasih Sudi Lawat Sini .. ♥