.: | LIFE is either a daring adventure or nothing | moga ALLAH redha | :.

Followers

This is Me ..

My photo
ALLAH memilih kita untuk menerima kesusahan, supaya suatu saat kita boleh menyuarakan "Kekuasaan" ALLAH.. | hanya hamba hina, yang masih mencari cinta teragung, cinta sempurna.. cinta ALLAH |

Monday, February 27, 2012

.....



Ku sendirian di himpit sepi 
Mencari arah di alam mimpi 
Adakah masih ku kesampaian 
Atau terputus di tengah jalan 
Mendamba kasihMu Tuhan

Sanggupkah aku menahan siksa 
Menanggung dosa yang ku lalui 
Ku serah diri padaMu Tuhan 
Terima segala taubatku 
Dengarlah rintihan hatiku 

Ke mana arah yang harus aku lalui 
Adakah masih di sini 
Perit tak terhingga

Aku mengharap padaMu Tuhan 
Bawalah jalan menuju cahaya 
Sesal tak terkata 
Kerdilnya diriku di sisiMu


dulu, masa kat poli waktu duk sorang2 kat hujung bilik 4.14 aras 4 block B2 tu aku suka ulang dengar lagu ni melebihi 24 ++ kali.. dan sambil2 tu tengok laut yang terbentang luas kat belakang psis tu. untung duk bilik tu, boleh nampak laut. hari2 pasang lagu nasyid then tengok laut... rasa tenang dia tak usah cakap lah.. hehee..
lagu ni meaning dia mendalam.. sila2 lah dengar =)



: taip entry sambil dengar lagu ni.. oh ya, lagu ni dinyanyikan oleh kumpulan All One - Arah . 




♥ .. Thank You, Syukran, Terima Kasih Sudi Lawat Sini .. ♥

Monday, February 13, 2012

Khutbah Terakhir Rasulullah SAW

Assalamualaikum ..





Khutbah terakhir Rasulullah s.a.w. disampaikan pada 9hb Zulhijjah Tahun 10 Hijriyah di lembah Uranah, Gunung Arafah

"wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan.
Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini.
Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. 

Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu.
Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar. Maka berjaga- jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil. 

Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu.
Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.

Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh- sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh. Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya.
Itulah Al-Quran dan Sunnahku .Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain.

Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku.
Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hambaMu."



Sumber dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Layari http://www.islam.gov.my/




♥ .. Thank You, Syukran, Terima Kasih Sudi Lawat Sini .. ♥

Thursday, February 9, 2012

Memahami Bacaan Dalam Solat

Assalamualaikum..




Memahami bacaan dalam solat adalah dituntut dan ia dapat menjadikan seseorang itu lebih kusyuk dalam solatnya apabila dia memahami apa yang dibacanya. Tapi adakah semua umat Islam yang solat mengerti apa yang dibacanya dalam solat? Mungkin sewaktu kecil kita didedahkan dengan bacaan dalam solat dan maksudnya, tapi seperti biasa, kebanyakan dari kita akan mengahafal bacaan arabnya dan tidak menghafal maksudnya. Jadi mulai sekarang marilah sama-sama kita mengerti bacaan dalam solat yang kita lakukan setiap hari.

1. Doa Iftitah
Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, Ibadatku, hidupku,matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.

2. Al-Fatihah
Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.

3. Bacaan ketika rukuk
Maha Suci Tuhanku Yang Maha Mulia dan dengan segala puji-pujiannya.

4. Bacaan ketika bangun dari rukuk
Allah mendengar pujian orang yang memujinya.

5. Bacaan ketika iktidal
Wahai Tuhan kami, bagi Engkaulah segala pujian.

6. Bacaan ketika sujud
Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.

7. Bacaan ketika duduk di antara dua sujud
Ya Allah, ampunilah daku, rahmatilah daku, kayakan daku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, berilah aku hidayah, sihatkanlah daku dan maafkanlah akan daku.

8. Bacaan ketika Tahiyat Awal
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

9. Bacaan ketika Tahiyat Akhir
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim. Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

10. Doa Qunut
Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu. Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi. Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.





♥ .. Thank You, Syukran, Terima Kasih Sudi Lawat Sini .. ♥

Kemungkaran Punca Keruntuhan Umat Islam

Assalamualaikum.. 


Satu hakikat yang tidak dapat dipadamkan daripada lembaran sejarah ialah bahawa umat Islam 1400 tahun yang lalu merupakan satu golongan manusia yang memiliki maruah, kemuliaan, kekuatan dan keagungan yang tiada tandingan.

Akan tetapi sebaik sahaja kita mengalihkan pandangan daripada lembaran sejarah itu kepada realiti kaum muslimin hari ini, kita akan dapat melihat satu golongan manusia yang tenggelam dalam lautan kehinaan dan dalam jurang kefasikan. Kita dapat melihat dengan jelas sekelompok manusia yang tidak mempunyai sebarang kekuatan mahupun kekuasaan. Kemiskinan dan kemunduran penduduk dunia majoritinya daripada kalangan mereka. Begitu juga kita dapat melihat mereka dalam ketandusan harga diri, perpaduan dan kasih sayang. Bahkan, peribadi mereka tidak lagi mencerminkan nilai akhlak yang tinggi sebagaimana 1400 tahun yang silam.

Tegasnya, umat Islam sedang dalam keruntuhan dan kehinaan di mana-mana. Keadaan ini menjadi bualan malah kegembiraan kepada musuh-musuh Islam. Kenapakah keadaan ini terjadi dan terus berlarutan? Bukankah telah muncul pejuang-pejuang samada secara individu mahupun harakah-harakah Islam yang bangun berusaha mengembalikan kemuliaan, maruah, kekuatan dan ketuanan umat Islam di atas muka bumi? Di bumi Palestin misalnya, telah setengah abad rakyatnya bangkit menentang pendudukan Yahudi. Namun sehingga kini kejayaan masih jauh daripada menjadi kenyataan. Bahkan mereka semakin tertekan dan terhina. Begitu juga dengan perkembangan umat Islam di Selatan Thailand dan perjuangan umat Islam di Selatan Filipina, dan kini yang terbaru di Syria.

Mungkin kita tertanya-tanya, mengapa Allah biarkan umat Islam berlarutan dalam keruntuhan dan kehinaan ini. Sedangkan Allah sendiri telah berjanji untuk mewariskan bumi ini kepada umat Islam. Firman Allah:

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal soleh, bahawa Dia akan bersungguh-sungguh menjadikan mereka berkuasa dimuka bumi.”

Begitu juga Allah telah memberi jaminan untuk menolong dan memuliakan umat Islam melalui firman-Nya yang bermaksud:

“Dan adalah hak Kami menolong orang-orang yang beriman.”

Firman-Nya lagi:

“Bagi Allah kemuliaan, dan bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang mukmin.”

Jadi jikalau mengikut ukuran akal maka tidak sepatutnya Allah biarkan umat Islam terus berada dalam kehinaan. Tapi kenapa Allah swt jatuhkan umat Islam daripada tampuk kekuasaan dunia? Allah serahkan kerajaan Bani Abbasyah ke tangan orang-orang Monggol di bawah pimpinan Hulagu Khan. Kenapa Allah lakukan demikian?

Untuk menjawabnya, perlulah kita memahami sunnatullah yang berlaku dalam sejarah. Firman Allah yang maksudnya:

“Hari-hari itu Kami gilir-gilirkan di antara manusia.”

Dan dalam firman-Nya yang lain:

“Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini. Tetapi Allah mempunyai kurnia (yang dicurahkan) ke atas semesta alam.”

Melalui ayat-ayat ini fahamlah kita bahawa penguasaan muka bumi ini Allah tidak tetapkan milik satu-satu bangsa atau kaum sahaja. Tetapi Allah tukar gantikan antara manusia dengan tujuan agar muka bumi ini tidak dipenuhi dengan kerosakan dan kemungkaran.

Jadi apabila suatu bangsa yang berkuasa di atas mukabumi telah berleluasa melakukan penindasan, kezaliman dan kemungkaran maka Allah tidak biarkan. Allah akan datangkan satu kaum yang lain mencabar dan akhirnya menjatuhkan kekuasaannya. Begitulah sunnatullah yang berlaku dalam sejarah. Rom tua dan Parsi raya pernah berkuasa di atas muka bumi. Tetapi apabila mereka berbuat mungkar dan berlaku zalim maka Allah datangkan umat Islam mencabar kekuasaan mereka hingga jatuh. Begitu juga yang terjadi kepada umat Islam setelah hampir 700 tahun berkuasa di atas muka bumi. Allah jatuhkan setelah mereka juga melakukan kezaliman dan kemungkaran dengan kedatangan orang-orang Monggol. Begitulah juga nasib kuasa-kuaa Barat yang menjajah negara-negara di dunia kemudiannya. Begitulah seterusnya, semakin banyak kezaliman dan kemungkaran yang dilakukan semakin cepat Allah jatuhkan mereka daripada menjadi penguasa muka bumi ini.

Jadi kekuasaan dan ketuanan umat Islam silam Allah jatuhkan kerana umat Islam telah lalai dripada ajaran Islam dengan melakukan kezaliman dan kemungkaran. Dan sejak itu tamadun Islam terus runtuh hingga kini umat Islam berada dalam kemunduran dan kehinaan. Perbuatan dosa dan maksiat berlaku berleluasa di kalangan mereka. Firman Allah yang bermaksud:

“Mereka lupa Allah, lalu Allah lupakan mereka.”

Para penguasa di kalangan mereka telah cinta dunia. Mereka menghabiskan masa berhibur dan melakukan maksiat dalam istana-istana yang indah. Alim ulamanya sudah tidak berfungsi lagi mendidik masyarakat, sebaliknya menyibukkan diri berbahas dan berdebat. Masyarakat terbiar dalam kejahilan sehingga mereka
lari daripada ulama yang amilin dan jauh daripada para fuqaha.

Justeru itu Allah sengaja datangkan penguasa yang zalim ke atas umat Islam untuk mengajar mereka. Sabda Rasulullah saw yang lebih kurang bermaksud”

“Akan datang satu zaman ke atas umatku, mereka lari daripada para ulama (yang amilin) dan lari daripada fuqaha (tidak mahu bermazhab). Maka Allah akan timpakan mereka dengan tiga bala. Allah angkat keberkatan daripada setiap usaha mereka, Allah akan datangkan penguasa yang zalim ke atas mereka dan mereka keluar dari dunia tanpa membawa iman.” Oleh itu berani saya katakan bahawa kejatuhan umat Islam dan keruntuhan tamadun yang telah dibina oleh generasi salafussoleh adalah kerana dosa maksiat dan kemungkaran yang dilakukan oleh umat Islam sendiri. Apabila mereka melakukan maksiat dan mungkar maka mereka tidak lagi tergolong dalam umat yang bertaqwa. Dengan sebab itu mereka tidak mendapat pertolongan dari Allah swt. Sebab Allah hanya berjanji untuk membantu hamba-Nya yang bertaqwa. Firman Allah yang maksudnya:

“Allah menjadi pembela kepada orang-orang yang bertaqwa.”

Menyedari akan hakikat inilah maka Sayidina Umar Al Khattab r.a tidak lupa untuk berpesan kepada tentera-tentera Islam sebelum mereka dihantar ke perbatasan dengan katanya,”Aku lebih takut pada dosa-dosa kamu daripada musuh-musuhmu. Kerana apabila kamu melakukan dosa, Allah tidak lagi akan menolong kamu. Maka terbiarlah kamu pada musuh-musuhmu.” 

Begitu juga Panglima Saad Abi Waqqas dan Salman Al Farisi ketika sedang mengharungi air sungai Dajlah untuk menawan Parsi pernah mengungkapkan, “Demi sesungguhnya Allah akan memusnahkan musuh-musuhnya selama tidak ada di dalam tentera kita orang yang zalim dan berbuat dosa.”

Di sinilah rahsia dan kekuatan taqwa. Dengannya Allah datangkan bantuan dan pertolongan tanpa diketahui dari mana datangnya. Firman Allah yang maksudnya:

“Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Kami akan memberikan baginya jalan keluar dari rezeki yang tidak diketahui dari mana datangnya.”

Dalam peperangan Badar, 313 tentera Islam yang tidak mempunyai kelengkapan perang yang cukup tetapi berbekalkan taqwa dapat mengalahkan tentera kafir musyrik seramai 1000 orang yang lengkap bersenjata. Ini membuktikan apabila bertembung taqwa dan kekuatan lahir maka Allah menangkan taqwa. Tetapi jika taqwa tidak ada maka kekuatan lahir akan jadi penentu kemenangan.

Sebaliknya kalau kita tinjau kekalahan tentera Islam dalam peperangan Uhud, sebenarnya kerana tentera Islam telah melakukan dosa. 
Pertama, dosa kerana tidak mematuhi arahan pemimpin (Rasulullah saw) agar pasukan memanah tidak berganjak dari kedudukan mereka di atas bukit. 
Keduanya, kerana hati sebahagian mereka didatangi sifat tamak akan dunia (harta rampasan). Dosa-dosa inilah yang menyebabkan Allah berlepas tangan daripada membantu mereka.

Begitu juga yang terjadi dalam sejarah peperangan Hunain yang berlaku selepas pembukaan Kota Mekah. Bilangan tentera Islam yang maju ke medan pertempuran ketika itu berjumlah puluhan ribu orang. Hingga terdetik dalam hati masing-masing. “Dengan jumlah yang sebegini ramai tentu sahaja kita tidak akan dapat dikalahkan.” Tetapi apabila berlaku pertempuran, baru dengan sekali serbu sahaja maka barisan tentera Islam telah pecah dan kucar-kacir. Malah ramai berundur lari ke belakang dari medan pertempuran. 
Firman Allah:

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (Hai orang Mukmin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunain. Iaitu di waktu kamu menjadi bongkak kerana banyaknya jumlahmu, maka jumlah yang banyak itu tidak sedikit pun memberi manfaat kepadamu, dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai.”

Demikianlah, hanya kerana dosa riak dengan bilangan yang ramai (tidak lagi bergantung penuh dengan Allah) maka tentera Islam telah tiada dibantu.

Kini dunia berada di bawah cengkaman dua superpower Rusia dan Amerika yang tidak putus-putus melakukan kezaliman dan kemungkaran di atas muka bumi. Mereka telah lemah bagaikan singa tua yang telah tumpul taringnya dan menunggu masa saja untuk dijatuhkan. Tapi siapakah yang bakal Allah datangkan untuk mencabar kekuasaan mereka? Adakah dari kalangan kita umat Islam yang rata-rata sedang bergelumang dalam maksiat dan mungkar?

Umat Islam telah lalai dengan sembahyang, ulamanya berkrisis dan berhasad dengki sesama mereka, rogol, zina, liwat, samun, riba, rasuah, bunuh diri, pergaulan bebas dan lain-lain kemungkaran berleluasa berlaku di kalangan umat Islam. Sedangkan usaha-usaha membanteras kemungkaran dilakukan sambil lewa dan tidak jujur. Mereka yang diharapkan membanteras maksiat dan kemungkaran juga melakukan kemungkaran seperti bersekedudukan, memakan harta anak yatim, malah jalan-jalan amar makruf nahi mungkar dipersempitkan.

Kalau demikianlah keadaan umat Islam, tentu sekali mereka tidak mungkin mencabar dan menjatuhkan kedua superpower itu. Tetapi akan Allah kutuk dan balakan mereka. Kemuliaan umat Islam tidak akan Allah kembalikan, selagi umat Islam tidak mengambil langkah-langkah untuk merungkai punca kutukan Allah (kemungkaran) yang menyebabkan mereka terhina di mana-mana. Firman Allah:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu (terlebih dahulu) mengubah apa yang ada dalam dirinya.”

Justeru itu apakah jalan keluar agar umat Islam dapat pulih daripada keruntuhan dan kehinaan ini? Imam Malik r.m ada berkata, “Pembaikan umat terakhir tidak mungkin (tercapai) melainkan dengan cara yang digunakan pada umat permulaan,” Oleh itu kaedah yang telah digunakan oleh Rasulullah saw sehingga berjaya mengeluarkan umat Arab daripada jahiliah yang penuh dengan maksiat dan kemungkaran itu patut menjadi contoh ikutan kita pada akhir zaman ini. Rasulullah saw berdakwah dan mendidik masyarakat Arab jahiliah itu dengan tiga perkara, iaitu dengan menanamkan rasa tauhid ke dalam jiwa mereka hingga mereka takut pada Allah swt, menanamkan rasa gerun kepada seksa neraka Allah di akhirat dan menanamkan rasa cinta kepada syurga Allah. Seterusnya baginda menanamkan rasa kasih sayang sesama mereka. Akhirnya lahirlah peribadi-peribadi yang teguh imannya dan terpuji akhlaknya. Sehingga generasi didikan Rasulullah saw ini dipuji oleh Allah sebagai sebaik-baik umat yang dilahirkan di kalangan manusia seluruhnya.

Oleh itu jalan inilah yang hendak kita tempuh iaitu dengan membuka seluas-luasnya gelanggang bagi menyeru kepada yang makruf (kebaikan) dan mencegah yang mungkar. Umat Islam hendaklah diasuh dan dididik hingga mereka takutkan Allah, gerun kepada seksa neraka dan cintakan syurga Allah di akhirat kelak. Hasilnya mereka akan takut dengan dosa dan meninggalkan maksiat dan kemungkaran yang menjadi punca keruntuhan dan kehinaan di atas muka bumi.


wallahu a'lam..






♥ .. Thank You, Syukran, Terima Kasih Sudi Lawat Sini .. ♥

Wednesday, February 8, 2012

Ciri-ciri Pakaian Muslimah Bertaqwa


Assalamualaikum ..


Apabila ditanya kepada seorang aktivis wanita Islam ala Barat: “Kenapakah anda tidak memakai tudung?” Jawapan yang diberikan adalah: “Pakaian yang dituntut dalam Islam adalah taqwa!”, merujuk kepada ayat 26 surah al-A’raaf:
“Dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya.”
Memandangkan sifat taqwa letaknya pada rohani seseorang, maka apa yang dipakai pada jasmaninya tidak perlu dipersoalkan.
Kefahaman seperti ini memang merupakan asas kepada aliran Islam Liberal dalam bab berpakaian. Kita menjawab, benar bahawa sifat taqwa letaknya pada rohani seseorang. Akan tetapi bagi manusia, apa yang terletak pada rohaninya akan terpancar pada jasmaninya. Orang yang memiliki rohani yang bertaqwa akan terpancar pada jasmaninya sifat-sifat yang membuktikan ketaqwaan tersebut. Sebagai contoh, orang yang bertaqwa akan sentiasa mengeluarkan kata-kata yang tepat lagi benar, selari dengan ketaqwaannya. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan katakanlah perkataan yang tepat lagi benar.” [al-Ahzab 33:70]
Demikian juga kaitannya antara rohani yang bertaqwa dan pakaian jasmani seorang muslimah. Ketaqwaan seorang muslimah akan menyebabkan jasmaninya terpancar dengan pakaian yang ciri-cirinya menepati perintah larangan Allah dan Rasul-Nya. Adapun pakaian yang belum menepati ciri-ciri tersebut, maka mungkin ia disebabkan oleh tahap ketaqwaan yang rendah. Mungkin juga, ia disebabkan kejahilan atau salah faham dalam mengetahui apakah ciri-ciri tersebut. Risalah ini insya-Allah akan memberi tumpuan kepada kemungkinan kedua. Kita mulakan dengan ciri-ciri yang pertama:

Ciri Pertama: Bukan merupakan pakaian yang meraih kemasyhuran.
Ciri pertama pakaian muslimah yang bertaqwa adalah pada tujuannya, iaitu ia tidak dipakai demi meraih kemasyhuran. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
“Sesiapa yang memakai pakaian demi kemasyhuran maka Allah akan memakaikannya pada hari Kiamat yang semisal, kemudian membakarnya di dalam pakaian tersebut dengan api neraka.” [Diriwayatkan oleh Abu Daud dan dinilai hasan oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 4029]
Tidak bertujuan meraih kemasyhuran bukanlah bermakna seorang muslimah tidak boleh memakai pakaian yang baru, kemas, berwarna dan indah. Ini kerana ukuran dalam ciri pertama ini ialah tujuan pemakaian dan bukan apa yang dipakai. Adakalanya seseorang itu turut mencari kemasyhuran dengan memakai pakaian yang buruk, robek dan kelihatan selekeh. Kemasyhuran yang dicarinya adalah mengharapkan pujian daripada orang ramai bahawa kononnya dia memiliki sifat zuhud. Ini juga adalah tujuan pemakaian yang dilarang. Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa dilarang meraih dua bentuk kemasyhuran dalam berpakaian, yang pertama adalah memakai pakaian yang baik demi menarik perhatian orang atau keduniaan, yang kedua adalah memakai pakaian yang buruk demi menarik perhatian kepadanya. [Diriwayatkan oleh al-Baihaqi di dalamal-Sunan al-Kubra – hadis no: 6102 dengan sanad yang lemah, dikemukakan sebagai penjelas dalam bab ini]

Ciri Kedua: Tidak menyerupai pakaian kaum bukan Islam.
Kita umat Islam dilarang daripada menyerupai kaum bukan Islam dan ini termasuklah dalam ciri-ciri berpakaian. Abdullah bin Amr bin al-‘Ashradhiallahu 'anh berkata:
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melihat saya memakai dua buah kain yang berwarna “Ushfur”, maka baginda bersabda: “Sesungguhnya ini adalah daripada pakaian orang-orang kafir maka janganlah memakainya.” [Diriwayatkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis 2077].

Terdapat beberapa sebab mengapa Islam melarang umatnya daripada menyerupai kaum bukan Islam dalam apa jua bentuk penampilan jasmani:
1.      Penampilan jasmani mencerminkan identiti seseorang, sekali gus mencerminkan apa yang dibanggakannya. Justeru itu kita jarang-jarang melihat orang bukan Islam ingin berpakaian seperti orang Islam, disebabkan kebanggaan mereka dalam memelihara identiti tersendiri dan pandangan mereka yang hina kepada Islam. Sebaliknya kita melihat orang Islam suka berpakaian seperti orang bukan Islam, malah berbangga-bangga dengan pakaian tersebut. Ini amat menggembirakan orang bukan Islam kerana ia menandakan betapa umat Islam memandang hina terhadap diri sendiri dan mencari kemuliaan di sisi mereka.
2.      Penampilan jasmani adalah salah satu faktor yang menjalin perhubungan di antara dua orang yang saling tidak berkenalan. Contohnya dua orang polis daripada lokasi yang berlainan, apabila berjumpa di satu tempat akan saling menegur. Faktor yang menggerakkan perhubungan antara mereka adalah pakaian seragam yang hampir mirip. Demikian juga, apabila dua orang muslimah yang tidak saling mengenali berjumpa, faktor yang akan menghubungkan mereka adalah pakaian bercirikan Islam yang mereka kenakan.
3.      Penampilan jasmani mencerminkan kecenderungan hati kepada apa yang diminati dan dikasihinya. Orang yang minat kepada pasukan bolasepak pilihannya akan gemar untuk memakai baju jersi pasukan tersebut. Orang yang kasih kepada penyanyi tertentu akan berusaha untuk berfesyen sebagaimana penyanyi tersebut. Demikian juga, seorang muslimah yang cenderung kepada orang bukan Islam akan cenderung untuk berpakaian seperti mereka. Kecenderungan seperti ini adalah sesuatu yang dilarang oleh Islam kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah berfirman:
“Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya.” [al-Mujadilah 58:22]
4.      Penampilan jasmani adalah salah satu faktor yang mempengaruhi akhlak dan perbuatan. Contohnya, orang yang mengenakan pakaian para ahli ilmu akan memiliki kecenderungan untuk berakhlak dan bertindak sebagai seorang ilmuan. Orang yang mengenakan pakaian ketenteraan akan memiliki kecenderungan untuk berakhlak dan bertindak sebagai seorang tentera. Demikian juga, seorang muslimah yang mengenakan pakaian orang bukan Islam akan memiliki kecenderungan untuk berakhlak dan bertindak seperti orang bukan Islam. Ini akhirnya akan menjerumuskan dirinya ke dalam akhlak dan perbuatan yang lazim dilakukan oleh orang bukan Islam yang sebenarnya haram di sisi Islam.

Oleh itu hendaklah seorang muslimah berusaha menjauhkan diri daripada berpenampilan seperti orang bukan Islam. Dalam suasana globalisasi sekarang ini, perintah ini adakalanya sukar untuk dilaksanakan sepenuhnya. Maka laksanakanlah sekadar mampu, lakukanlah perbezaan sekalipun dengan kadar yang minima.

Ciri Ketiga: Tidak menyerupai kaum lelaki.
Selain daripada pakaian yang tidak menyerupai orang bukan Islam, seorang muslimah juga dituntut untuk berpakaian yang tidak menyerupai kaum lelaki. ‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anh berkata:
“Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.”[Diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 5885]

Hikmah larangan adalah kerana pakaian merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi akhlak dan perbuatan seseorang. Apabila seorang muslimah berpakaian seperti lelaki, dia akan cenderung untuk berakhlak dan bertindak sebagai seorang lelaki. Ini akan menyebabkan berlakunya kesongsangan dalam peranan dan tanggungjawab antara lelaki dan wanita. Lebih dari itu, sebahagian daripada peranan kaum lelaki adalah tidak sesuai dengan fizikal kaum wanita sehingga akhirnya menimbulkan mudarat kepadanya.

Ciri Keempat: Tidak jarang kainnya.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:
“Pada akhir umatku nanti akan ada wanita yang berpakaian tetapi sebenarnya telanjang.” [Diriwayatkan al-Thabarani dan sanadnya dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Jilbab al-Mar’ah al-Muslimah fi al-Kitab wa al-Sunnah (Dar al-Salam, 2002), ms. 125]
 Maksud Rasulullah dalam hadisnya di atas adalah wanita yang mengenakan pakaian yang jarang kainnya sehingga menampakkan tubuh badan mereka di sebaliknya. Justeru sekalipun mereka berpakaian, mereka sebenarnya tetap telanjang. Oleh itu dalam memilih sesuatu pakaian, hendaklah diperhatikan agar kainnya tidak jarang atau nipis.

Ciri Kelima: Tidak menampakkan bentuk badan.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah memberikan sehelai pakaian Quthbiyah yang tebal kepada sahabatnya, Usamah bin Zaidradhiallahu 'anh. Usamah kemudiannya memakaikannya kepada isterinya. Melihat yang sedemikian, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berpesan kepada beliau:
“Suruhlah beliau memakai baju dalam di sebaliknya kerana aku bimbang ia menggambarkan bentuk tulangnya.”[Diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Baihaqi, sanadnya dinilai hasan oleh al-Albani di dalam al-Tsamar al-Mustathab fi Fiqh al-Sunnah wa al-Kitab (Muassasah Ghiras, Kuwait, 1422H), jld. 1, ms. 318]

Perhatikan bahawa sekalipun pakaian Qubthiyah adalah tebal, Rasulullah tetap menyuruh agar dipakai baju dalam di sebaliknya. Hal ini mungkin disebabkan oleh saiz badan isteri Usamah yang besar atau sifat pakaian Quthbiyah yang mudah melentur mengikuti bentuk badan orang yang memakainya. Berdasarkan hadis ini, hendaklah seorang muslimah mengenakan pakaian yang dapat menghindari daripada menampakkan bentuk badannya semampu mungkin, seperti memakai baju di dalam, baju tambahan di luar, pakaian yang longgar atau pakaian yang diperbuat daripada kain yang tidak mudah mengikut bentuk badan.

Ciri Keenam: Tidak mengenakan wangian pada pakaian.
Dilarang bagi seorang muslimah untuk sengaja memakai wangi-wangian agar dapat dihidu oleh kaum lelaki. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
“Sesiapapun wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina.” [Diriwayatkan oleh al-Nasai dan dinilai hasan oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan al-Nasai – hadis no: 5141]

Larangan ini tidak membezakan sama ada wangian tersebut dikenakan di atas badan atau pakaian. Dikatakan “penzina” adalah kerana wangi-wangian yang dikenakan oleh wanita adalah salah satu faktor yang menaikkan berahi kaum lelaki sehingga akhirnya menyebabkan perzinaan, sama ada secara rela atau paksa. Walaubagaimanapun hadis ini tidaklah melarang seorang muslimah daripada menjaga dirinya daripada berbau busuk. Oleh itu dibolehkan, malah dianjurkan, untuk menjaga keharuman diri dengan sabun mandian atau semburan badan yang bersifat menahan peluh (anti perspirant) atau bau busuk (deodorant).

Ciri Ketujuh: Menutupi tubuh badan kecuali apa yang zahir.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
“Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” [al-Nur 24:31]

Terdapat beberapa penjelasan yang penting daripada ayat di atas:
Pertama:
Firman Allah: “…katakanlah…” bukanlah bererti ia adalah satu suruhan yang sunat atau ringan hukumnya, tetapi suruhan yang membawa kepada perintah wajib. Ini sebagaimana firman Allah: “Katakanlah: (Tuhanku) ialah Allah Yang Satu.” [al-Ikhlas 112:1]. Ayat ini tidaklah bererti mengesakan Allah sebagai Tuhan yang Satu adalah sunat kerana mengesakan Allah sebagai Tuhan yang Satu adalah kewajipan agama yang paling asas.

Kedua:
Firman Allah: “…kepada wanita-wanita yang beriman…” menunjukkan bahawa perintah ini ditujukan kepada semua wanita beriman tanpa membezakan tempat dan zaman. Ini membatalkan dakwaan Islam Liberal yang menganggap pakaian yang menutupi badan hanya untuk wanita yang hidup 1400 tahun yang lalu di padang pasir.

Ketiga:
Firman Allah: “…janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka…” adalah satu larangan yang bersifat umum, bererti seorang muslimah dilarang daripada memperlihatkan tubuh badan mereka. Ini kerana tubuh badan wanita adalah satu “perhiasan” yang istimewa dan apa jua perhiasan yang memiliki nilai yang tinggi maka lazimnya ia tertutup demi memelihara keistimewaannya. Perhatikan bagaimana emas dan berlian tertutup di bawah tanah, mutiara tertutup dalam cengkerangnya di dalam lautan dan minyak tertutup di dalam lapisan bumi. Perhatikan juga bahawa di antara deria-deria manusia seperti mata, telinga dan hidung, hanya mata yang memiliki kelopak yang menutupinya manakala deria lain dibiarkan terdedah. Ini tidak lain menunjukkan bahawa mata adalah deria yang paling istimewa sehingga perlu ditutupi.
Selain itu seorang muslimah yang “menutup perhiasan” badannya akan mudah dikenali sebagai wanita yang baik dan lebih terpelihara daripada gangguan orang lain. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [al-Ahzab 33:59]

Keempat: 
Keumuman larangan di atas telah diberikan pengecualian, iaitu dengan firman Allah: “…kecuali yang zahir daripadanya.” Terdapat dua kefahaman di kalangan para ilmuan Islam tentang apa yang dimaksudkan dengan pengecualian di atas:
1.      Yang dimaksudkan dengan “zahir” adalah bentuk badan seorang wanita dimana sekalipun dengan pakaian yang menutupi keseluruhan badan dan muka, seorang wanita tetap dapat dikenali disebabkan oleh susuk badan mereka. Maka ini dikecualikan kerana ia adalah sesuatu yang memang sukar untuk dielakkan. Berdasarkan kefahaman ini, ayat 31 surah al-Nisaa’ dijadikan dalil bahawa seorang muslimah wajib menutupi seluruh badannya termasuk muka.
2.      Yang dimaksudkan dengan “zahir” adalah apa yang kelihatan daripada beberapa anggota yang lazimnya terdedah bagi membolehkan seorang muslimah melaksanakan tugasnya yang ditetapkan oleh syari‘at Islam. Anggota tersebut ialah muka dan tangan di bawah pergelangannya. Sebahagian lain menambah bahagian di bawah buku lali kakinya. Berdasarkan kefahaman ini, ayat 31 surah al-Nur juga dijadikan dalil bahawa seorang muslimah wajib menutupi seluruh badannya kecuali apa yang perlu untuk tugasnya yang ditetapkan oleh syari‘at.
Sekalipun terdapat dua kefahaman, wilayah perbezaan di antara kedua-duanya adalah amat kecil. Kedua-dua pihak memiliki hujah dan di sini penulis mengambil sikap berlapang dengan berkata bahawa kedua-duanya adalah benar. Seorang muslimah boleh memilih salah satu daripada pendapat tersebut. Pada waktu yang sama hendaklah dia menghormati muslimah lain yang memilih pendapat yang berbeza daripadanya.

Kelima:
Sebelum turunnya ayat 31 surah al-Nur, sebahagian wanita pada zaman tersebut ada yang memakai tudung kepala. Akan tetapi tudung tersebut dilepaskan ke belakang badan mereka. Maka Allah membetulkan cara pakaian tersebut dengan firman-Nya: “…hendaklah mereka menutup dada dengan tudung kepala mereka”, yakni hendaklah ia dilepaskan ke hadapan badan mereka. Tidak sekadar itu, ia juga hendaklah dilabuhkan sehingga menutupi ke bawah dada mereka.

Demikian tujuh ciri-ciri pakaian bagi seorang muslimah yang bertaqwa. Sekali lagi ditegaskan bahawa taqwa adalah kedudukan rohani yang dibuktikan melalui perbuatan jasmani dan ciri-ciri berpakaian tidak terlepas daripada pembuktian ini. Pembuktian tersebut hendaklah secara bersungguh-sungguh sebagaimana pesan Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.” [Ali Imran 3:102]
Walaubagaimana jika seorang muslimah mengalami kesukaran atau terhimpit dalam satu suasana yang menyukarkan, hendaklah dia berusaha sekadar termampu kerana Allah yang Maha Pengasih dan Maha Pengampun juga telah berfirman:  
“Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.” [al-Taghabun 64:16]
Terpenting, membaca ayat: “Dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya” sebagai alasan untuk tidak bertudung bukanlah ciri-ciri seorang muslimah yang bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benarnya, mahupun bertaqwa kepada Allah dengan sedaya upaya. Ia hanyalah ciri-ciri seorang wanita yang bertaqwa kepada hawa nafsunya.


sumber ? 
http://www.hafizfirdaus.com/ebook/Risalah4/Himpunan%20Risalah%204%20Topik%202.htm


perempuan yang cantik itu adalah perempuan yang
bijak menjaga aurat dan cara pemakaiannya =)


♥ .. Thank You, Syukran, Terima Kasih Sudi Lawat Sini .. ♥

copyright by Azwani | Mencari Cinta Teragung